Persempadanan Baru - Kawasan Pilihanraya Negeri

Jumlah Pengundi
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah merangka menambahkan 11 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri untuk Sarawak Bumi Kenyalang menjadikannya 81.
Sementara langkah ini boleh dilihat sebagai memberi manfaat kepada wakil rakyat wakil rakyat untuk menjaga kawasan yang jumlah penduduk dan permukaan kawasan jagaan lebih kecil, ia juga diperhatikan sebagai suatu langkah strategik pemerintah untuk mencengkam genggaman kepada teraju kekuasaan. Ertinya kerajaan sedang mencorak suasana dan keadaan geopolitik yang kondusif kepada keputusan pilihanraya yang akan datang agar menyebelahi mereka. Ini kita kenali sebagai political demographic engineering.
Pilihanraya adalah dalam selang waktu sekitar satu tahun dari sekarang. Tidak lama tu.
Malangnya langkah SPR ini nampaknya tidak berapa memadai dan dibuat seperti alang alang. Ini kerana SPR tidak pula menambah kerusi Parlimen yang lebih luas pengaruh dan kesan kuasanya kepada pola pemerintahan Malaysia. Bukankah bagus jika kerusi Parlimen turut ditambahkan juga.
Pemerhati politik melihat perkara ini sebagai keraguan SPR untuk memperolehi sokongan Parlimen bagi meluluskan pertambahan kerusi Parlimen. Sebab kepada kesangsian ini? Parti pemerintah tidak lagi menguasai 2/3 suara di Parlimen seperti dahulu.
Bantahan
Apakah benar ada muslihat dari pihak yang sedang memerintah, kerana menambah 11 kerusi DUN di Sarawak tetapi tidak memberi sebarang tambahan kepada kerusi kerusi Parlimennya?
Apakah kelebihan parti permerintah jika kerusi DUN Sarawak bertambah? Adakah ia memberi advantage (kelebihan) kepada Barisan Nasional berbanding parti lain? Bukankah hutan dan gunung ganang politik terbuka luas untuk dirabik dan digondol?
Apa apapun jenis, rupa dan namanya langkah SPR ini, anda dan saya mempunyai penilaian masing masing terhadap mereka yang mengolahnya. Jika anda berfikiran ia dibuat secara tidak konsisten dengan amalan dan prinsip demokrasi, kita masih ada ruang untuk membantah. Itu satu dari hak rakyat yang ada di negara ini, walaupun hak itu bukannya bebas mutlak kerana ia hanya digunapakai dalam jalur dan bingkai ketentuan norma, nilai, perundangan dan peraturan semasa.
Kerajaan negeri besar kemungkinan tidak akan membantah. Namun bantahan terhadap usul ini boleh juga dibuat oleh sekurang-kurangnya 100 orang pengundi dalam kawasan kawasan pilihanraya yang terlibat. Oleh itu, jika ada apa apa ketidakpuasan kerana pensempadanan semula kawasan pilihanraya ini, selain mengomel dan merungut rungut menuduh itu dan ini di kaki lima atau di kedai kopi, ada baiknya usaha mendapatkan tandatangan bantahan dibuat dan diajukan kepada Pengarah Pilihanraya di Kuching sebelum 4 Februari 2015. Kalau ia dilihat tidak betul.
Soalnya sekarang adalah : adakah sekurang kurangnya 100 orang akan tampil di Belaga N57 yang tidak puashati kerana cadangan ini sehingga berusaha untuk membuat bantahan?
Perlu diketahui umum bahawa sebarang bentuk bantahan perlulah dikemukakan kepada SPR dalam selang waktu 30 hari.
Mengapa Bantahan?
Bantahan, jika ada haruslah mengandungi asas dan sebab.
Perubahan.
Kawasan pilihanraya kita di Belaga akan berubah rupa. Persempadanan baru di kawasan yang dahulunya Belaga N57 akan membonjolkan 2 kawasan baru yang kelihatannya meleret ke arah barat. Kawasan pilihanraya baru yang dilahirkan adalah Murum N66 di sebelah utara yang menggabungkan Tubau di sebelah barat dengan Sungai Asap hingga ke kawasan kiri hulu Balui, keseluruhan kawasan Penan ke sempadan antarabangsa Sarawak-Indonesia. Tubau dahulunya termasuk dalam kawasan Kemena N60 memiliki hampir 3 ribu pengundi sementara Asap mempunyai hampir 5 ribu pengundi. Seluruh pengundi Murum adalah sekitar 8 ribu. Jumlah penduduk adalah sekitar 30 ribu.
Belaga N57 mengecut saiz di utara kerana mengeluarkan Asap dan kawasan Murum sekaligus mengeluarkan sekitar 5 ribu pengundi dari senarai pemilih di N57 Belaga. Sebagai gantinya, pengundi dari Merit (dari B54 Pelagus) dan Data Kakus (N53 Kakus) masuk untuk mengundi di N57 Belaga.
Implikasi
Dengan sempadan kawasan pemerintahan negeri yang baru ini, rakyat di Sungai Asap dan Tubau akan mulai perlu membiasakan diri menyebut ‘Murum’ sebagai kawasan mereka bersama. Mereka akan mempunyai wakil rakyat yang sama dan semestinya juga akan perlu merancang pusat perkhidmatan parti-parti yang menggunakan nama Murum.
Yang di Data Kakus (dari N53 Kakus) dan Merit (dari N54 Pelagus) pula akan menyebut ‘Belaga’ sebagai kawasan pilihanraya mereka, berkongsi dengan Bah, Pekan Belaga dan kawasan sebelah kanan Balui hingga ke Long Busang. Imbasan demografi membawa kita mengenali Kakus (Data Kakus) sebagai berpendudukan Kenyah Badeng. Long Busang adalah kampung asal mereka di Sarawak. Pensempadanan baru yang memasukkan Merit yang rata-ratanya Iban akan melihat kepada perubahan komposisi kaum ke dalam kawasan Belaga dengan pertambahan peratusan Iban sebanyak sekitar 30% daripada hanya 0.3% pada pilihanraya negeri tahun 2006. Ini adalah pertambahan pengundian saudara-saudari Iban ke Belaga sebanyak beribu ribu kali ganda! Implikasi jelas adalah – pengundi dari saudara kita kaum Iban (dari Merit) yang membentuk sekitar 30% undi membuka lembaran baru kepada landskap politik Belaga. Demikian juga halnya dengan kawasan baru Murum N66 apabila peratusan Iban yang banyak dari Tubau (pecahan dari Kemena N60) akan mengubah landskap politik Belaga melalui bauran baru dan input segar dari saudara kaum Iban.
Senario Ke Depan
Dengan beranaknya Belaga kepada dua kawasan yang mengangkat pula Tubau, Kakus dan Merit ke dalam lingkungan temboknya, akan muncul tanduk tanduk kecil kepala bermakhota seiring dengan tangan tangan yang bergelutan kuasa. Jika BN kini memegang kuasa di Belaga, BN juga mahu terus memegang kuasa di Belaga N57 dan kawasan terbitan baru Murum N66.
Ada 2 soalan dasar yang akan kembang kembali dan bermain main di minda kebanyakan pengundi kita mulai sekarang. Mereka akan mencari jawapan untuk dua soalan ini. Pertama – siapa mereka yang akan bertanding untuk menjadi ahli DUN di kawasan kawasan ini. Kedua – bolehkah pengundi mendapat sesuatu (duit dan yang sebegitu) dari calon-calon semasa kempen?
Saya kira masyarakat kini perlu melihat persoalan dan perkara politik lebih dari 2 soalan lapok ini. Politik tidak seharusnya seperti dahulu bila orang hanya tahu dan mahu tahu dua perkara pokok - siapa dia (?) dan berapa (yang dia beri?).
Kesedaran politik hari ini sedang menuju kepada isu perjuangan dan matlamat umum, atas nama masyarakat seluruhnya. Ia adalah mengenai iklim luas pemerintahan negeri. Kefahaman miskin politik kuno rumah panjang berkisar antara ‘siapa’ dan ‘parti apa’ sebagai isu mereka. Jika calon itu tidak dikenali namanya, mereka tidak melihat dia sebagai calon yang layak dipilih atau diundi. Jika dia tidak ‘memberi’, kadar ‘like’ tidak akan seberapa. Keadaan kesedaran seperti ini kita kesali. Malangnya ia masih berlaku dan akan masih berlaku kerana taraf kesedaran yang rendah tentang faktor iklim politik. Rakyat rumah panjang kurang mengerti tentang cuaca politik. Mereka kurang sedar bahawa undi mereka itu menentukan corak iklim pemerintahan negeri 5 tahun ke hadapan. Bagaimana ini berlaku dan masih berlaku, itu soal menarik untuk generasi baru mendalaminya.
Kesedaran Baru
Anak anak muda dan generasi baru harus bangkit untuk mengubah kefahaman politik uma’ daru’ (rumah panjang). Ubah isu dan persoalan ‘siapa dia’ dan ‘berapa’ kepada ‘apa dia’! Isu perjuangan perlu diketahui dan diberi fokus, bukannya berapa yang ‘saya dapat semasa kempen’. Rakyat kena lihat apa kesan undian mereka kepada iklim pemerintahan negara 5 tahun ke depan.
Saya menyarankan (walaupun saya bukan politikus atau menteri entah apa) supaya generasi hari ini meneliti manifesto parti parti dan calon calon yang bertanding. Kenyataan-kenyataan mereka adalah senarai gambaran janji-janji, pegangan, kefahaman serta inti perjuangan. Ini penting. Pengundi matang akan mencari maklumat seperti ini (bukannya seperti pengundi kabur kabur yang ‘lapar’ dan mencari cari peluang untung semasa kempen). Mereka yang celik politik ingin melihat dan ingin terlibat dalam mencorak iklim politik 5 tahun ke depan. Mereka akan mencari dan memilih calon pemimpin yang akan memperjuangkan hasrat, impian dan kemahuan mereka sebagai rakyat. Mereka tidak memilih calon untuk mengangkatnya menjadi seseorang yang kemudian boleh dijadikan tempat meminta bantuan kebajikan wang ringgit dan derma!
Kecualilah jika wakil rakyat itu memiliki mesin cop duit!
Saranan
Oleh kerana rakyat adalah yang menentukan corak pemerintahan ke hadapan melalui pemilihan pemimpin yang diundi ke dewan undangan, maka adalah perlu dan tersangat penting untuk rakyat mengundi mereka yang cocok dan sesuai dengan aspirasi mereka. Maksudnya, kita pilih seorang dari kita untuk mewakili kita bersuara dengan jelas dan bebas di dewan negeri untuk membangkitkan isu kemuskilan, permasalahan serta rancangan rancangan rakyat. Namanya adalah ‘wakil rakyat’ dahulu sebelum dia adalah ahli parti dan menteri entah apa.
Andaian di sini adalah bahawa rakyat dan pengundi sudah matang dan tahu keadaan semasa yang mempengaruhi kehidupan mereka.
Contohnya terlalu banyak. Anataranya : GST (cukai barangan dan perkhidmatan) - harga naik, gaji minimum, hak terhadap tanah pusaka, dasar pendidikan negara, kebebasan bersuara, isu kalimah kalimah larangan dan kebebasan beragama, Bakun dan tana’ lepu’un, pengagihan kekayaan negara, korupsi, dasar luar terhadap negara timur tengah (terutama Israel) dan sebagai sebagainya.
Semua kita sekarang berada di bawah redup payung dasar kerajaan seperti yang tersebut di atas. Adakah anda selesa dan seronok dengan dasar dasar ini?
Inilah contoh isu yang menjadikan kita bertanya pada diri sendiri tentang peranan kita untuk menyuarakan isi hati kita. Bukannya dengan memacak sepanduk atau memapar pesanan tertulis dengan marker atau cat atas kad manila semata mata. Suara kita akan hanya bermakna jika ia dibawa ke peti undi dengan memilih calon yang tepat dan serasi dengan aspirasi diri dan komuniti.
Mendaftarlah Sebagai Pengundi.
Mereka yang belum menjadi pengundi mesti mendaftar sekarang agar aspirasi kita semua akan terkumpul di peti undi. Ajak saudara, teman dan siapa siapa saja yang layak untuk pergi mendaftar sekarang.
Kuasa pemilihan di tangan kita.
Kita yang memilih.
Tanpa Wahyu, Rakyat Menjadi Liar.
Members Area
Ahli (Rawak)
Recent Forum Posts
Photo Gallery
Video
Click here to try again.