Sejarah Lisan Lebu' Kulit - Projek Komuniti
Pengenalan
Semua benda, samada hidup atau tidak, mempunyai sejarah. Manusia mempunyai sejarah. Komuniti mempunyai sejarah. Negara mempunyai sejarah. Dunia mempunyai sejarah.
Sejarah adalah cerita, peristiwa, perkara dan kejadian yang berlaku dan dilihat, ditinjau, dikenang dan diingati. Pendek kata sejarah bukan saja perkara lalu tetapi ia mempunyai kaitan dengan masa kini dan masa hadapan.
Kalau sejarah tidak diketahui maka kewujudan dan keadaan masa kini seperti putus, melayang-layang tanpa diketahui asal usul, punca dan sebab musabab rupanya demikian. Identiti diri menjadi tanda tanya.
Kita sebagai sebuah komuniti mempunyai sejarah tersendiri. Malangnya sejarah kita tidak dapat kita anggap lengkap dan mantap. Tiada dokumen lengkap mengenai siapa diri kita, dari mana asal usul kita dan apa yang telah berlaku kepada kita sebagai sebuah komuniti sehingga terbentuk lebu’ kita seperti ini hari ini.
Maka adalah sangat penting untuk kita sendiri melakukan sesuatu untuk menyelam sejarah sendiri dan mulai mendokumentasikannya supaya sejarah itu boleh tertulis dan akan mampu dikenang dan dibaca dari zaman ke zaman.
Makna dan Konsep Sejarah Lisan
Definisi
Judith Moyer (1993) mengatakan : “oral history is the systematic collection of living people’s testimony about their own experience”
Konsep
Objektif sejarah lisan adalah untuk menghasilkan satu dokumen dari keterangan peribadi, keterangan saksi mata, keterangan kata dengar atau tradisi lisan ke dalam bentuk rakaman atau transkrip. Segala yang dikumpul itu termasuklah juga pengalaman, kenangan dan memori yang dipandang dan dinilai bererti kepada orang yang mengalaminya mahupun mereka yang mengetahuinya.
Sejarah lisan menjadi penting kerana ia adalah salah satu cabang sejarah yang tidak bertulis. Oleh itu ia tidak kukuh dalam hal ketepatan, kerana ia bersandar kepada cara penyampaian cerita dari individu ke individu di mana rekaan baru dalam cerita boleh saja terselit masuk sementara sebahagian cerita boleh saja tertinggal dari cerita. Ertinya kesinambungan pengetahuan tentang sejarah lisan sangat bergantung kepada ketepatan maklumat dalam cerita lisan.
Untuk mengekal ketepatan cerita itulah maka pentingnya Sejarah Lisan didokumentasikan seawal mungkin.
Kaedah
Perancangan Awal Kajian – tema kajian, gambaran dan maklumat awal, soalan-soalan disediakan
Mengenalpasti Orang Sumber - mereka yang boleh dipercayai dan mempunyai sumber berkenaan
Proses Pengumpulan Sumber – wawancara, rakaman dan sumber lain
Proses Transkripsi – dari rakaman ke kertas bertulis
Pendokumentasian Sejarah – kritikan sumber dan penulisan hasil sumber
Pengurusan Hasil Kajian – simpan dengan baik.
Orang Sumber
Orang Sumber adalah sumber kepada keterangan lisan yang merupakan bahan sejarah untuk dikumpul. Mereka yang diwawancara itu dinamakan ‘orang sumber’.
Ada 3 kategori orang sumber yang utama iaitu:
Proto
Saksi mata (eye witnesses)
Kata dengar (hearsay).
Kepentingan Sumber Lisan
Ada 7 kepentingan sejarah lisan:
Mengisi kekosongan yang terdapat dalam sumber tertulis dan menjadi sumber tambahan untuk melengkapkan kajian yang mendalam dan mantap;
Menjadi penyelamat dan menyediakan maklumat sejarah yang mungkin tidak dapat diperolehi oleh pengkaji akan datang;
Memberi peluang kepada orang ramai untuk mentafsir peranan mereka demi mencari kebenaran sejarah;
Memberi sumber istimewa yang dapat menyelami emosi pelaku dalam peristiwa yang dialami;
Menjadi alternatif kepada memoir dan biografi;
Merakam dan menyelamat tradisi lisan yang semakin hilang;
Mempelbagaikan sumber dalam usaha memahami dan memelihara warisan negara.
Penutup
Lebu’ Kulit sebagai sebuah komuniti sedang berdepan dengan isu identiti tanpa sejarah kukuh. Ini kerana sumber sejarah lisan lebu’ kulit semakin berkurangan. Setiap orang tua yang meninggal dunia membawa mati bersama mereka sejarah, yang besar kemungkinan akan tertanam tidak dapat digali dan diketahui oleh generasi hadapan.
Oleh kerana kuatnya kaitan identiti dengan sejarah, sekaligus sebagai bukti tentang kewujudan komuniti mempamer hak sekiranya timbul isu pencerobohan tanah dan warisan, maka lebu’ kulit hari ini harus merancang usaha mengumpul sejarah lisan mereka.
Saya mengajak ahli komuniti untuk bersama merangka jejak ke hadapan untuk merealisasikan usaha ini sehingga kita boleh menerbitkan buku sejarah kita sendiiri.
Sekian.
2010