Panggilan Imamat Rajani

Tuhan memanggil kita untuk menjadi bagiNya kerajaan imam dan bangsa yang kudus. (Kel 19: 6).


“Kamulah bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terangNya yang ajaib” 1 Pet 2:9


Tuhan mahu namaNya tersebar ke seluruh muka bumi. Itu peranan kita sebagai umat pilihan Allah – untuk memberitakan perbuatanNya yang ajaib – kasihNya yang besar dan kemuliaanNya yang tiada tandingnya.

Dia mahu kita masuk ke musim baru.


“Tetapi kamu akan menerima kuasa kalau Roh Kudus turun ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksiKu di Yerusalem dan di seluruh Yudea dan Samaria dan sampai ke hujung bumi.” (KPR 1: 8)

Pentaksota

Pencurahan Roh Kudus berlaku pada hari Pentakosta, musim baru yang ditunggu tunggu untuk menerima kuasa baru. Ini akan berlaku pada bulan Sivan, bulan ketiga dalam kalendar Yahudi yang jatuhnya mulai 19 Mei 2015.


Pentakosta adalah 50 hari selepas Hari Raya Paskah (7 minggu + 1 hari setelah kebangkitan Yesus). Ia melambangkan musim baru di mana Tuhan mahukan kita memiliki kawasan dan lingkungan kepemilikan dan kekuasaan lebih luas (enlarged territory)


Apa kaitannya Pentakosta dengan panggilan imamat rajani?


Nama Tuhan hanya akan tersebar hingga ke hujung bumi (setelah Yerusalem, Yudea dan Samaria) sekiranya Roh Kudus menguasai kita, iaini setelah kita menjadi imam dan raja dalam konteks Wahyu 5: 10. Ia menggambarkan waktu dan keadaan bila terbentuknya dalam diri kita sikap, amalan serta persepektif pengabdian, penyerahan serta komunikasi dengan Anak Domba yang ada di atas takhta. Baca dengan sempurna ayat itu.


Ini adalah gambaran gereja zaman akhir – gereja yang cara menyembahnya ‘pelik’ dan ‘lain’ dari biasa biasa.


Gereja ini menyanyi lagu baru yang berkisar pada Anak Domba itu sahaja. Tiada unsur ‘comfortable’ dalam cara duduk di gereja. Tiada ukuran diri sendiri dihiburkan atau mendapat apa apa kecuali yang diberikan Tuhan. Tiada unsur perbezaan di antara ahli gereja. Tiada sikap tangguh menangguh. Tiada benda atau sesuatu berciri duniawi berada di hadirat Anak Domba. Yang mereka pedulikan hanyalah menyembah dan memuji Dia yang duduk di atas takhta dan Anak Domba itu. Pujian, hormat, kemuliaan, kuasa adalah hanya untuk Dia, dan sampai selama-lamanya. Sepertinya tiada lagi fikiran dan kesedaran tentang diri. Kesedaran tentang diri sendiri telah tenggelam ditelan dengan kesedaran tentang siapa Anak Domba itu sebenarnya – bahawa Dia yang telah disembelih, dan bahawa Dia layak menerima segala yang diri kita sebelum ini selalu impikan untuk diri sendiri sebagai manusia, rupa-rupanya hanya untuk Anak Domba itu sahaja – iaini segala:

kuasa,

kekayaan,

hikmat,

kekuatan,

hormat,

kemuliaan

dan puji-pujian.


Bacalah Wahyu 5 untuk mengetahui apa yang dikatakan ini.


Itu adalah gambarannya pemberitaan kebesaran Tuhan setelah berlakunya Pentakosta. Ia adalah musim baru yang kita nanti-nantikan di mana kita akan menjadi seperti makhluk-makhluk dan tua-tua itu menyembah Tuhan, bukan dengan cara biasa gereja zaman ini yang terikat dengan struktur penyembahan ritual tetapi dengan cara penyembahan ‘berapi api’!


Mesej hari ini sekadar untuk memberitakan bahawa kedatangan Tuhan Yesus sudah dekat, sangat dekat dan Dia memanggil kita untuk menyiapkan diri, takut-takut kita tanpa sedar akan ditinggalkan dari jemaah besar pengangkatan sewaktu Dia datang.


Berilah diri kita dikuasai oleh Roh Kudus hari ini dalam bulan baru ini supaya kita dimampukan untuk menjadi saksi Kristus.

Tanpa wahyu, rakyat menjadi liar