Awak Bangsa Apa?

Kerajaan sengaja malas memanggil nama bangsa saya.


Sepertinya kerajaan mahu supaya saya lupakan saja nama bangsa saya. Dan supaya anak cucu sayapun tidak tahu lagi siapa mereka.


Saya perlu mengisi ruang bangsa ‘ lain lain’ dalam borang kerajaan. Ertinya bangsa saya ini tergolong sebagai bangsa lain, lain dari melayu, cina dan India (yang entah kenapa india itu kami kenali juga sebagai tambi).


Kerajaan tidak peduli untuk mengetahui nama suku suku bangsa saya. Mungkin kerana mereka tidak tahu sebut atau sukar sekali menyebut atau mereka tidak mahu orang lain tahu atau tidak peduli mahu tahu. Mungin juga semua yang di atas.


Mungkin selama ini kerajaan tidak tahu rakyat sendiri. Atau mungkin juga kerajaan fikir bangsa yang mereka kategorikan sebagai ‘lain lain’ ini mereka anggap terlalu kecil untuk dikenali. Tidak dipedulikan.


Terpinggirlah kami.


Setelah berpuluh tahun bersatu untuk hidup bersama, ada orang masih tidak kenal suku suku kaum Ukit, Seping, Kejaman, Lahanan, Murik, Saban. Ada juga yang tidak tahu membezakan Penan dan Punan. Sebabnya jelas. Dalam ruang bangsa ‘lain lain’, semua suku suku bangsa ini disatukan sebagai tidak memiliki nama bangsa yang disebut. Memanglah orang tidak akan tahu. Bila kami tidak diketahui nama bangsa, teruslah orang tidak tahu. Terpinggirlah kami. Siapa peduli.


Syukur dan pujian pada Tuhan Allah yang kami sembah kerana sekarang ada berita kerajaan mahu mulai membenarkan kami keluar dari kumpulan ‘lain lain’ dan masuk kepada satu nama lain pula.


Mereka mengarahkan kami memakai perkataan ‘bumiputera’ di depan nama bangsa kami.


O ya, saya lupa memperkenalkan nama bangsa kami. Dayak. Macam biasa pula tertinggal lupa nama bangsa sendiri sebab lama sangat berada di dalam barisan rakyat ‘lain lain’.


Kerajaan mahu menggelar bangsa kami sebagai Bumiputera Dayak.


Apa? Bumiputera Dayak? Kenapa perlu bumiputera di depan Dayak? Dayak bukan bumiputerakah?


Kalau sayalah, saya tidak mahulah perkataan itu di depan nama bangsa saya. Sebabnya jelas. Saya ini kan bumiputera. Lainlah kalau selama ini (saya ulangi -selama bangsa kami menjadi satu dengan bangsa bangsa lain di negara ini lebih 50 tahun lepas) kami tidak diketahui sebagai bumiputera. 


Adakah sekarang ini sahaja kami mahu diberikan status bumiputera? Atau adakah kerana kami selama ini tidak diketahui status bumiputera kami?


Sudahlah.


Jangan mengeluarkan kami dari mulut buaya untuk melontarkan kami pula ke dalam mulut binatang buas lain yang kami sendiri tidak tahu nama dan bengisnya.


Tidak perlu letak bumiputera di depan Dayak seolah melancang berita bahawa Dayak yang kuno tidak bertamadun hidup atas pokok kini sudah keluar hutan. Undang undang negeri jelas menyebut nama suku suku bangsa kami. Kami ada hak terhadap negara kami.


Kalau masih juga mahu pakai nama lain selain dari Dayak  yang kami pilih ini, biar saya syorkan nama perkataan yang ada erti sebenar. Puterabumi, bukan bumiputera. Terbalikkan. Bumiputera itu tidak ada erti yang jelas. Dayakpun sudah ada sekolah. Kami tahu membeza makna perkataan. Kami orang asal. Kami peribumi. We are natives of the land. Putera bumi ini. Putera-puteri tanah kami. Jadi tolong jangan keliru memilih nama bangsa untuk kami. Hanya untuk mengelirukan kami. Kalau bukan Dayak yang kami pilih – yang akan menyatukan kami semua yang selama ini ‘lain lain’ (seperti terasing sangat), pakailah nama yang betul untuk melambangkan kedudukan hormat kami di negara ini. Puterabumi. Ya, kami putera bumi ini. Kalau bukan itu, tiada yang lain selain Dayak. Itu bangsa kami selama ini kalau anda tidak tahu.


Sekadar meluat meluah pendapat.


Edward Agong

Members Area

Ahli (Rawak)

Recent Forum Posts 

Photo Gallery

Video

452 views - 0 comments
940 views - 4 comments
Thank you for contacting us. We will get back to you as soon as possible
Oops. An error occurred.
Click here to try again.

Tanpa wahyu, rakyat menjadi liar